MENELAN KEKECEWAAN

 


Sudah lumrahnya kehidupan manusia mengharungi hari-hari yang penuh onak dan duri, adakalanya bahagia sebahagianya dan ada ketikanya kesedihan menghambat diri. Kerna manusia itu bukannya sebuah robot yang tiada perasaan di dalamnya, maka ianya normal untuk menghadapi rasa-rasa negatif. Marah, sedih, letih, kecewa dan segala rasa seangkatan dengannya. Secara fitrahnya, itulah manusia, tetapi sebagai seorang muslim perlulah dikawal segala rasa yang baik mahupun sebaliknya. Islam itu sendiri mengeluarkan pelbagai cara untuk mengawal fitrah itu sendiri. Kerna itulah hidup manusia itu berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah telah digariskan oleh Allah swt dan yang telah dipamerkan oleh Rasulullah.

 

Sabda Rasulullah saw;

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ»

Maksudnya: Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.

[HR Imam Bukhari]

 

Rasulullah saw bersabda;

أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَوْصِنِي، قَالَ: «لاَ تَغْضَبْ» فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ: لاَ تَغْضَبْ

Maksudnya: Seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Sampaikanlah pesan kepadaku”, Baginda menjawab: “Jangan marah”. Kemudian lelaki tersebut mengulangi perkataannya. Nabi SAW tetap berkata: “Jangan marah.”

[HR Imam Bukhari]

 

Kemarahan terhadap seseorang mahupun sesuatu ianya adalah buah hasil daripada suatu perasaan yang menjadi penolak terhadap perasaan ingin marah adalah sebuah kekecewaan. Kenapa rasa kecewa itu menjelma dalam kehidupan manusia? Bilamana ianya tidak seiringan dengan keinginan manusia atau telah letih untuk menasihat atau bertemu dengan manusia yang kurang “common sense”. Tetapi itulah manusia, ada yang datang sebagai nikmat dan ada juga yang hadir sebagai ujian. Benar, kekecewaan yang dirasai itu tidak salah kerana itu lumrahnya manusia tetapi rujuklah kepada ajaran Islam supaya segala kekecewaan itu boleh dikawal dan tidak menimbulkan kebencian yang mampu memutuskan suatu perhubungan.

Merujuklah kepada yang arif dan rujuklah kepada sumber utama ajaran Islam iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Rasulullah telah berpesan orang kuat adalah orang yang mampu menahan rasa amarahnya dan jangan menghadapi suatu perkara dengan kemarahan. Lebih baik menelan kekecewaan dengan berzikir kepada Allah swt kerana di saat melayani rasa kekecewaan ianya seolah-olah telah membuka pintu kepada perasaan ingin marah kepada manusia lain mahupun kepada situasi yang dihadapinya.

Wahai manusia,

Yang berjiwa hamba,

Telanlah kekecewaan,

Pendamlah dan padamlah amarah,

Jangan tergoda dengan bisikan yang membinasakan,

Jadikanlah Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan,

Jadikanlah ia sebagai perisai untuk mengawalnya,

Agar kelak tiada penyesalan yang dirintihkan,

Agar kelak terlunas segala mujahadah,

Dengan syurga impian sebagai ganjaran,

Kerna bertahan dan bersabar dengan perasaan,

Di saat menempuhi ujian kehidupan.

Comments