ISU UMAT : HILANGNYA TEMPAT BERLINDUNG

 


Hari demi hari sungguh menyesakkan dada bilamana melihat isu-isu umat yang berkaitan pedofilia. Dahulunya kanak-kanak diberikan masukkan untuk lebih berhati-hati dengan orang asing dan mendidik mereka supaya tidak mudah ikut orang yang tidak dikenalinya sebagai langkah pertama untuk menghindari suatu yang tak diingini berlaku.

Terdapat beberapa kes yang berkaitan cikgu tuisyen yang mengambil kesempatan terhadap pelajarnya, ada juga kes yang berkaitan pelajar universiti menyimpan gambar dan video kanak-kanak yang tidak sepatutnya menjadi simpanan mereka sebagai pemangkin kepada nafsu serakah mereka. Sebab itulah perlu berhati-hati dalam berkongsi berkaitan kehidupan seharian dalam media sosial kerana tidak semua melihat menggunakan kacamata yang sama.

Tetapi kini, isu-isu ini lebih menyayat hati bilamana keluarga yang sepatutnya menjadi perlindung kepada anak-anak daripada sebarang bahaya telah bertukar konsep perlindungannya. Banyak sudah isu-isu yang berkaitan penganiayaan anak-anak yang datang daripada ahli keluarga sendiri. Seorang bapa sanggup mencemarkan maruah anak yang berusia 2 tahun untuk memenuhi nafsu serakahnya. Ada juga seorang atuk yang sanggup mengusik kesucian cucunya sebagai pemuas nafsunya. Ada pula seorang abang yang mengambil kesempatan terhadap adiknya yang sepatutnya abang melindungi adik tetapi telah bertukar menjadi suatu sosok yang menakutkan.

Sedangkan Allah swt berfirman;


يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا وَّقُوْدُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلٰۤىِٕكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُوْنَ اللّٰهَ مَآ اَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُوْنَ مَا يُؤْمَرُوْنَ

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

[Surah At-Tahrim; 66:6]

Imam al-Ghazali ada berpesan: “Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa. Jika sudah terbiasa dengan perkara kebaikan, anak itu akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya”.

 

Begitu juga sabda Rasulullah saw menceritakan setiap yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah:

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ 

Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibubapanyalah yang mencorakkanya menjadi yahudi atau nasrani atau majusi. 

[Hadis Riwayat Imam Bukhari]

 

Anak-anak adalah amanah dan anugerah daripada Allah swt untuk hamba-Nya, dan sepatutnya perlu dijaga dan dicorakkan dengan sebaik-baiknya bukannya merosakkannya oleh dek tewas dengan hawa nafsu yang membinasakan. Jika anak-anak merasakan tiada keselamatan dalam keluarganya, bagaimanakah mereka akan menjalani hari-hari mereka dengan sebaiknya. Fikirkan!


Keluarga bukanlah tempat perlindungan hakiki,

Tetapi dengan adanya keluarga keselamatan akan dirasai,

Seandainya penjagaannya berpandukan keimanan kepada Allah swt,

Dan bukan berpaksikan nafsu serakah yang membinasakan.

Comments