DIARI KEHIDUPAN

 


Tidak cukup selembar kertas untuk menulis perihal kehidupan manusia yang seperti permainan “roller coaster” kerna ada masanya di atas dan ada ketikanya di bawah tetapi pada masa yang sama manusia itu tidak mampu untuk memberhentikannya. Begitulah realiti kehidupan manusia, sudah pasti manusia itu tidak mampu memberhentikan waktu walaupun sedetik cuma. Kerna manusia itu terbatas sifatnya, ada kelemahan tersendiri dan tidak mampu meneka apa yang ada pada masa hadapan.

Bagi manusia yang suka menulis peristiwa kehidupannya di dalam diarinya, bilamana ia membacakannya semula. Sungguh, pasti ia seolah-olah tidak percaya kerna mampu mengharungi segala onak dan duri kehidupannya. Sememangnya benar, ada masanya rasa seolah-olah tiada daya untuk menghadapi ujian yang menghambat kehidupan dan adakalanya terasa mahu berputus asa dengan segala yang mendatang.

Tetapi akhirnya, sekarang ini telah berjaya melepasi fasa-fasa kesukaran yang dihadapinya yang dulunya rasa tidak mungkin untuk berjaya menghadapinya. Ayuh, muhasabah diri dalam setiap peristiwa yang telah dituliskan dalam diari kehidupan. Tanyalah pada diri, bagaimanakah mampu seorang manusia itu menghadapi ujiannya yang berat? Apakah yang telah memampukan seseorang manusia itu berjaya mengharungi ujiannya? Siapakah yang memotivasikan seseorang manusia untuk lalui ujiannya?

Segala persoalan yang ada, terdapat hanya satu jawapan yang kukuh iaitu Allah swt. Allah swt yang telah memampukan manusia itu mengharungi segala rintangan dalam kehidupannya. Sesungguhnya, pergantungan yang terbaik adalah pada sesuatu yang tidak akan pernah hilang dan tiada kuasa yang mampu menandingi kekuasaan-Nya. Carilah yang mampu memberi perlindungan bukan hanya di dunia tetapi di akhirat kelak.

 Firman Allah swt;

وَلَىِٕنْ سَاَلْتَهُمْ مَّنْ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضَ لَيَقُوْلُنَّ اللّٰهُ ۗ قُلْ اَفَرَءَيْتُمْ مَّا تَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللّٰهِ اِنْ اَرَادَنِيَ اللّٰهُ بِضُرٍّ هَلْ هُنَّ كٰشِفٰتُ ضُرِّهٖٓ اَوْ اَرَادَنِيْ بِرَحْمَةٍ هَلْ هُنَّ مُمْسِكٰتُ رَحْمَتِهٖۗ قُلْ حَسْبِيَ اللّٰهُ ۗعَلَيْهِ يَتَوَكَّلُ الْمُتَوَكِّلُوْنَ

Dan sungguh, jika engkau tanyakan kepada mereka, “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Niscaya mereka menjawab, “Allah.” Katakanlah, “Kalau begitu tahukah kamu tentang apa yang kamu sembah selain Allah, jika Allah hendak mendatangkan bencana kepadaku, apakah mereka mampu menghilangkan bencana itu, atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, apakah mereka dapat mencegah rahmat-Nya?” Katakanlah, “Cukuplah Allah bagiku. Kepada-Nyalah orang-orang yang bertawakal berserah diri.”

[Az-zumar; 39:38]

 

مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللّٰهِ بَاقٍۗ وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِيْنَ صَبَرُوْٓا اَجْرَهُمْ بِاَحْسَنِ مَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ

Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan  Kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.

[An-Nahl; 16:96]

 

Mencoretkan segala yang terjadi di dalam diari bukanlah bererti tidak “move on”, boleh jadi ianya salah satu cara untuk “healing process”. Tetapi seeloknya melihat kembali apa yang telah dicoretkan dan carilah hikmah disebalik apa yang telah berlaku, lalu mengadulah dan berserahlah kepada Allah Al-Wakil. Jangan pernah goyah meletakkan Allah swt sebagai tempat untuk bergantung dan berlindung. 


Comments