KEMEWAHAN DUNIA


Melihat kemewahan dunia,

Membuatkan diri takut,

Kerna ujian kemewahan,

Mampu menjadikan manusia lalai dan alpa,

Barangkali bisa menjadi raksasa.

 

Terkadang manusia itu terliur dengan nikmat-nikmat kemewahan yang ada pada dirinya atau yang manusia lain memiliki. Manusia sekarang ini seolah-olah berlumba-berlumba kehebatan dan kemewahan yang mereka ada sehinggakan teralpa kepada Allah Ar-Razzaq yang mengurniakan rezeki kepada manusia mengikut kadar yang telah yang ditetapkan. Bukan tidak boleh kita bertungkus-lumus untuk berusaha mencari rezeki tetapi perlulah beringat tentang masa kita untuk bermunajat kepada Allah swt. Bagaimana memperolehi keberkatan sedangkan kita sendiri tidak bertaut kepada Yang Maha Memberi Keberkatan dan tidak ada peruntukan masa sendiri untuk bermunajat kepada-Nya. Barokah ini milik Allah swt dan Allah swt akan mengurniakan kepada manusia yang sebenar-benarnya layak untuk memperolehinya.

وَمَنْ يَّتَّقِ اللّٰهَ يَجْعَلْ لَّهٗ مَخْرَجًا ۙ

وَّيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُۗ وَمَنْ يَّتَوَكَّلْ عَلَى اللّٰهِ فَهُوَ حَسْبُهٗ ۗاِنَّ اللّٰهَ بَالِغُ اَمْرِهٖۗ قَدْ جَعَلَ اللّٰهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu”.

[Surah At-Talaq; 65:2-3]

 

 

Kerana mewahnya harta dunia,

Manusia mendabik dada,

Sehinggakan lupa dan leka untuk bersujud pada Yang Maha Esa,

Berjalan seolah dialah yang berkuasa,

Sehinggakan alpa siapa yang sebenarnya yang lebih berkuasa.

 

Tetapi tidak semuanya begitu,

Hanya segelintir sahaja,

Tetapi walaupun hanya segelintir sahaja,

Ianya mampu mengubah sesuatu.

 

Dunia ini mempunyai pelbagai sifat, jika terlalu mengejar dunia takut kelak akhirat kita abaikan. Berdasarkan Mufti Wilayah Persekutuan dalam hantarannya di laman rasminya, ada 5 sifat kehidupan dunia yang dikongsikan kepada kita semua berdasarkan tafsir Surah Al Hadid ayat 20;

 

اِعْلَمُوْٓا اَنَّمَا الْحَيٰوةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَّلَهْوٌ وَّزِيْنَةٌ وَّتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِى الْاَمْوَالِ وَالْاَوْلَادِۗ  كَمَثَلِ غَيْثٍ اَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهٗ ثُمَّ يَهِيْجُ فَتَرٰىهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُوْنُ حُطَامًاۗ وَفِى الْاٰخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيْدٌۙ وَّمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللّٰهِ وَرِضْوَانٌ  ۗوَمَا الْحَيٰوةُ الدُّنْيَآ اِلَّا مَتَاعُ الْغُرُوْرِ

Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sendagurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridaan-Nya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu.

[Surah Al-Hadid; 57:20]


  • La’ibun (permainan), iaitu permainan jasmani dan ini adalah perbuatan anak-anak yang mereka itu menjadikan diri mereka sangat letih dan kemudian setelah permainan tersebut selesai tidak ada faedah yang diperolehi.

  •  Lahwun (sesuatu yang melalaikan/senda gurau), iaitu yang menjadikan hati lalai. Ini adalah perbuatan orang dewasa yang kebanyakannya setelah perbuatan yang melalaikan itu selesai, maka yang tinggal hanyalah penyesalan. Ini kerana, orang yang berakal setelah melakukan perbuatan yang melalaikan dia melihat bahawa hartanya hilang, umurnya berkurang (pergi) dan kelazatannya habis. Sedangkan nafsu/jiwa semakin rindu dan haus akan hal tersebut, namun nafsu tidak memperolehinya, sehingga terkumpul kesan buruk dan berkesinambungan (tidak pernah puas).

  • Zinah (perhiasan), iaitu berhias dalam hal pakaian, makanan, minuman, kenderaan, rumah, istana, kedudukan, dan lain-lain. Ibnu Abbas R.Anhuma berkata, “Maksudnya adalah bahawasanya orang kafir sibuk sepanjang hidupnya untuk mencari perhiasan dunia tanpa beramal untuk akhirat.”

  • Saling berbangga terhadap sifat-sifat yang fana’ (tidak abadi) dan pasti hilang, iaitu boleh jadi berbangga-bangga dengan nasab, kekuasaan, kekuatan, bala tentera yang semuanya itu pasti lenyap. Dan saling berbangga di antara kamu iaitu masing-masing dari penduduk dunia ingin membanggakan atas yang lain dan ingin supaya dia menjadi jaguh dalam semua urusannya dan ingin mendapatkan populariti dalam semua keadaannya. 

  • Berbangga-bangga dengan harta dan anak, iaitu masing-masing menginginkan dia lebih banyak dari yang lainnya dalam hal harta dan anak. Semua ini hanya terjadi pada diri pencinta dunia dan yang merasa damai dengan dunia. Ibnu Abbas R.Anhuma berkata, “Mengumpulkan harta dalam kemurkaan Allah dan membanggakan harta terhadap wali-wali Allah serta mengeluarkan harta dalam perkara-perkara yang mendatangkan murka Allah maka dia menjadi kegelapan yang bertumpuk-tumpuk.” Hasan al-Basri Rahimahullah berkata, “Apabila kamu melihat orang yang mengalahkanmu dalam perkara dunia, maka kalahkan dia dalam hal akhirat.”
Semoga kita semua tidak menjadi hamba dunia dan tidak menjadikan dunia satu-satunya keutamaan dalam kehidupan kita. Kejarlah akhirat, pasti dunia akan mengejarmu. Rugilah manusia itu jika kehidupannya hanya berimpiankan dunia semata, kelak di akhirat kita merangkak dengan beribu sesalan dan sesalan itu tiada berguna lagi kerna ianya tidak akan mampu membawa kita kembali ke dunia untuk beramal.

Comments