CUKUPLAH KEMATIAN SEBAGAI PERINGATAN

2 tahun yang lepas, Malaysia dikejutkan dengan penyebaran wabak Covid-19 yang begitu merungsingkan masyarakat. Semakin hari semakin tinggi kes yang melibatkan yang positif. Boleh dikatakan setiap hari akan ada kes kematian yang disebabkan wabak ini. Ada yang ditidurkan sebelum menghembuskan nafas yang terakhir dan ada yang secara tiba-tiba pergi meninggalkan dunia tanpa menunjukkan tanda terjangkiti oleh wabak ini.

Pada saat itu, manusia diibaratkan hidup dalam kegelapan dan ketakutan. Takut akan dijangkiti wabak ini dan banyak langkah yang diambil untuk mengelakkan dan menghentikan wabak ini daripada tersebar luas. Di saat ini juga, hilanglah nikmat berjemaah di masjid, hilang nikmat merapatkan saf, hilangnya nikmat bersalaman sesama manusia dan hilang juga nikmat kebebasan untuk bergerak ke mana sahaja yang kita mahu terutama untuk bertemu keluarga.

Tetaplah bersyukur bagi mereka yang belum disapa wabak ini dan tetaplah bersyukur kepada mereka yang berjaya melawan wabak ini. Terimalah ketentuan Allah swt dengan kelapangan dada dan mencarilah hikmah disebaliknya dan bukannya mempersoalkan takdir yang telah berlaku.

Dengan fenomena ini, ramai yang terkesan dengan kematian-kematian yang disebabkan oleh wabak ini sehinggakan ada ramai yang berhijrah ke arah yang diredai oleh Allah swt. Semakin ramai yang menggunakan masa yang ada untuk kembali taat kepada Yang Maha Esa dan semakin ramai yang mengajak manusia lain untuk berhijrah kepada yang lebih baik.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar ra, Rasulullah saw bersabda:

 

أَكْثِرُوا ذِكرَ هَاذمِ اللَّذّاتِ – يَعْنِي المـَوت – فَإنَّه مَا كَانَ فِي كَثِيرٍ إِلَّا قَلَّلهُ، وَلاَ قَلِيلٍ إِلَّا أَجزَاهُ

“Perbanyakkan mengingati pemutus kelazatan – iaitu kematian – kerana apabila ia diingati dalam keadaan banyak maksiat, ia boleh mengurangkan kemaksiatan tersebut dan apabila diingati dalam keadaan kurang ibadah, ia akan memperbanyakkan ibadah tersebut.”

[Riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman]

 

Saidina Umar iaitu Khalifah Islam ke 2, sering mengingatkan dirinya tentang kematian sehingga cincinnya diukir dengan kalimat;

 

كَفَى بِالمـَوتِ وَاعِظًا يَا عُمَر

“Cukuplah kematian sebagai peringatan, wahai Umar.”

 

Tazkirah (peringatan) kematian merupakan nasihat yang terbaik untuk manusia it uterus beramal dan memperbaiki amalnya. Seolah-olah manusia mempersiapkan diri mereka untuk menjawab peperiksaan atau mempersiapkan diri untuk membentangkan hasil kerja di hadapan karyawan-karyawan yang berstatus tinggi. Begitulah juga dengan kematian, peringatan manusia untuk mempersiapkan diri untuk membentangkan hasil amal kepada Yang Maha Menciptakan Sekalian Makhluk.

 

Mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian agar nanti kematian menyapa kita dengan tenteram jika tidak, kematian akan menyapa kita dalam menyesakkan dada kita kerna kita tidak mempersiapkan diri untuk menemui kematian.

 

“Jadikanlah kematiaan kepada booster amal, kerana kematiaan merupakan motivasi yang terbaik untuk memperjuangkan amal yang terbaik”.

Comments