BENCI KEPADA MAKSIAT BUKAN BENCI KEPADA PELAKU MAKSIAT

 

Sekilas pandang tajuk ini seolah-olah pernah kita dengar. Jadi, apakah yang dimaksudkan benci kepada maksiat dan bukan benci kepada pelaku pemaksiaat? Ini adalah rahmat daripada Allah swt Yang Maha Baik dan Dia suka akan perkara yang baik. Allah swt sangat melarang seorang muslim menaruh perasaan dendam mahupun dengki dalam hatinya terhadap manusia lain tanpa mengira agama, bangsa mahupun negara. Ini kerana dengki dan dendam bukanlah hasil daripada benci akan sesuatu kerana Allah swt.

Benci kerana Allah swt adalah seseorang itu membenci perlakuan yang bertentangan dengan suruhan Allah swt yang dilakukan manusia lain tanpa mengira ikatan keluarga, persahabatan mahupun masyarakat itu sendiri. Kebencian ini tidak akan mendatangkan perasaan dendam mahupun dengki terhadap si pelaku maksiat dan seseorang itu akan sedaya upaya menasihati si pelaku maksiat dan berusaha menarik kembali si pelaku maksiat untuk bertaubat kepada Allah swt. Perasaannya akan resah dan tidak senang duduk terhadap perlakuan si pelaku maksiat kerana tidak mahu si pelaku maksiat jatuh ke jurang kebinasaan kelak. Terdapat pelbagai cara untuk kita mencegah kemungkaran yang dilakukan manusia.

 

Abu Said al-Khudri ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

“Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman.”

[HR Imam Muslim & Imam Ahmad].

 

Memberi nasihat adalah satu cara yang kitab oleh lakukan untuk mencegah kemungkaran. Jika benar kita menyayangi mereka yang berada dalam sekeliling kita, pasti kita tidak akan membiarkannya hanyut di dalam lautan yang bakal membinasakan kehidupannya. Sesungguhnya ada hak mereka yang perlu kita beri tanpa mengira sama ada ianya pelaku maksiat atau sebaliknya.

 

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْم الدَّارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ . قُلْنَا لِمَنْ قَالَ : لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: Daripada Abu Ruqayyah Tamim bin Aus, bahawa Rasulullah saw bersabda;

“Agama adalah nasihat” Kami bertanya : “Untuk siapa?” Jawab baginda : “Untuk Allah, kitabnya, rasul-nya, dan bagi para imam-imam muslimin dan seluruh muslimin (selain imam-imam)”.

[HR Imam Muslim]

 

Jika benar kita cinta akan Allah swt, kita tidak akan ada perasaan yang Allah swt larang untuk seorang muslim. Seandainya kita benci sesuatu kerana Allah swt, maka tidak akan ada rasa dendam dan dengki sesame manusia malah kita turut merasai kebahagiaan bilamana mereka si pelaku maksiat bertaubat kepada Allah swt.

 

Comments